MAJLIS GRADUASI LANCAR

>> Selasa, 6 November 2012

Graduan 2012 SK Lembah Keramat
3 NOV - Majlis Anugerah dan Graduasi SK Lembah Keramat telah berlangsung dengan lancarnya pagi tadi. Seramai 129 orang graduan tahun 6 menerima sijil kecemerlangan. Majlis yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu dirasmikan oleh Datuk Dr. Abdul Rahman B. Ismail, Pengerusi Gabungan Bukan Kerajaan Daerah Gombak.Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan, antaranya Tarian Zapin dibawah pimpinan Cikgu Nurul Jannah, Persembahan Boria dibawah pimpinan Cikgu Jamalia Jusoh, Persembahan Nasyid dibawah pimpinan Cikgu Fatimah Deraman dan Tarian Bollywood dibawah pimpinan Cikgu Nasmiziata. Dalam majlis tersebut, Adik Mohd Izzat Bin Sabri telah menerima Anugerah Tokoh Murid 2012 manakala Adik Hafiz Bin Zainuddin menerima Anugerah Tokoh Kokurikulum 2012. Adik Syed Muhd Ariff Bin Syed Muhd Azizi pula telah dianugerahkan Tokoh Muzaffar 2012. Majlis Anugerah dan Graduasi SK Lembah Keramat ini merupakan satu program yang dijalankan di peringkat sekolah yang bertujuan untuk memberi penghargaan kepada murid-murid yang telah menunjukkan komitmen mereka dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum. Anugerah ini dapat memberikan inspirasi dan dorongan kepada murid untuk lebih berjaya pada masa akan datang. SK Lembah Keramat mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Dr. Abdul Rahman B. Ismail kerana sudi meluangkan masa untuk merasmikan Majlis Anugerah dan Graduasi 2012 SKLK serta tidak dilupakan AJK pelaksana program. Ucapan tahniah kepada penerima anugerah, semoga terus meraih kecemerlangan pada masa hadapan.

Read more...

ARABIAN NIGHT MENGUKIR KENANGAN

>> Selasa, 23 Oktober 2012

Antara Calon Putera-putera Arab.
19 OKT - Satu majlis nostalgia tahun 6 telah berlangsung di Dewan Baiduri, SK Lembah Keramat malam semalam. Majlis nostalgia yang bertemakan arab itu diberi nama “Arabian Night” telah disertai seramai 168 orang peserta yang terdiri dari murid-murid tahun 6 SK Lembah Keramat.
“Saya amat berpuas hati dengan majlis kali ini kerana berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang hebat dari murid-murid tahun 6,” Kata Puan Khalijah selaku Penyelaras tahun 6.
“Harapan saya pada tahun akan datang majlis nostalgia ini mendapat penyertaan yang lebih banyak lagi dengan tema yang lebih menarik”, katanya. Beliau amat terharu dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh guru-guru dalam menjayakan majlis ini.
Pelbagai persembahan telah dipersembahkan kepada hadirin antaranya karaoke, Choral speaking, Tarian arab, Tarian boria, Sketsa Madu 3, Persembahan Koir, Pentomen, Nasyid dan Dikir barat yang dipersembahkan oleh murid-murid tahun 6. Dalam pada itu, adik Zuhair dan Hanisya Shafira telah terpilih sebagai pemenang kostum terbaik. Majlis yang bermula awal 8 malam berakhir jam 11.30 malam. SKLK mengucapkan terima kasih kepada ahli jawatankuasa pelaksana dan syabas kerana telah menjayakan program ini dengan jayanya.

Read more...

SEHARI DI MELAKA

>> Ahad, 21 Oktober 2012


Peserta Lawatan Beratur Untuk Masuk WonderLand, Melaka.

Kelihatan Peserta Melintas Jambatan Muzium Samudera, Melaka.
20 OKT - Seramai 119 orang murid SK Lembah Keramat telah menyertai satu lawatan ke Melaka anjuran Unit Kokurikulum SK Lembah Keramat yang dipimpin oleh Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Normayadi Othman. Ia merupakan lawatan yang pertama dianjurkan sejak beliau mengambil alih sebagai guru penolong kanan kokurikulum SK Lembah Keramat setelah guru penolong kanan terdahulu Puan Mengit Kaur Singh bersara. Antara tempat yang telah dilawati ialah Taman Buaya, Muzium Samudera dan Taman Tema Air “Wonderland”, Melaka. Menurut Encik Normayadi Othman, beliau amat berbangga dengan penyertaan murid-murid SK Lembah Keramat yang memberangsangkan serta kerjasama yang diberikan oleh ibubapa membenarkan anak-anak jagaan mereka menyertai program lawatan ini. Beliau bersyukur kerana sepanjang program lawatan ini tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Harapan beliau agar program lawatan sebegini dapat diadakan lagi. Peserta lawatan ke Melaka selamat tiba di sekolah pada jam 9.30 malam.

Read more...

PEPERIKSAAN AKHIR

>> Isnin, 15 Oktober 2012

15 OKT - Setelah hampir setahun dicurahkan ilmu oleh guru. Hari ini merupakan hari pengujian murid-murid terhadap ilmu yang dipelajari sepanjang tahun 2012 dan merupakan hari yang pertama murid murid SKLK menduduki peperiksaan akhir tahun 2012. Peperiksaan ini akan berlangsung lima hari bermula 15 oktober hari isnin sehingga hari khamis iaitu 19 oktober ini. Manakala buat murid murid tahun 6, peperiksaan ini merupakan peperiksaan yang terakhir buat mereka di SKLK memandangkan mereka bakal melangkah ke sekolah menengah pada awal tahun hadapan. Dalam pada itu, SKLK mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir tahun buat semua murid murid SKLK. Buatlah yang terbaik dan berusahalah demi kejayaan masing masing.

Read more...

CINTA

10 OKT - Seramai 200 orang murid tahun 6 SK Lembah Keramat telah menyertai satu ceramah yang berlangsung di Dewan Baiduri SK Lembah Keramat pagi tadi. Ceramah yang bertajuk "Menyingkap Tabir Cinta Zulaikha Dan Yusuf A.S" itu telah disampaikan oleh penceramah yang dijemput khas dari Majalah Ana Muslim. Iaitu Ustaz Zdul Hilman. Ceramah ini merupakan salah satu program lepas UPSR. Dalam ceramah tersebut Ustaz Zdul Hilman mengingatkan murid-murid tentang kesan cinta antara remaja dan perkara yang sepatutnya dilakukan diawal remaja. Semoga perkara dan ilmu yang disampaikan menjadi panduan buat lepasan SKLK dalam menghadapi alam remaja mereka.

Read more...
Penafian: SK Lembah Keramat adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini


Hak Cipta Terpelihara SKLK 2013